Interaksi dengan manusia Kuda

Di seluruh dunia, kuda memainkan peranan dalam kebudayaan manusia semenjak ribuan tahun dahulu. Kuda digunakan untuk kegiatan istirahat, sukan dan pekerjaan. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menganggarkan bahawa pada tahun 2008, terdapat hampir 59,000,000 ekor kuda di dunia, iaitu sekitar 33,500,000 ekor di benua Amerika, 13,800,000 ekor di Asia, 6,300,000 ekor di Eropah dan sebilangan kecil lagi di Afrika dan Oseania.[149]

Komunikasi antara manusia dan kuda adalah penting sekali dalam sebarang kegiatan berkuda;[150] kuda selalunya ditunggang dengan pelana di atas belakangnya untuk mengimbangi kedudukan penunggang, serta kekang untuk penunggang mengawal kuda.[151] Kuda juga adakalanya ditunggang tanpa pelana,[152] malah adakalanya kuda dilatih untuk beraksi tanpa kekang atau alas kepala yang seumpamanya.[153] Juga banyak terdapat kuda yang "dipandu", iaitu memerlukan abah-abah, kekang, dan suatu jenis kenderaan.[154]


Sukan

Kuda dengan penunggang dalam pertandingan dressage di sukan Olimpik.

Sejak dahulu kala, penunggang kuda mengasah kemahiran menerusi sukan dan perlumbaan. Sukan menunggang kuda (atau ekuestrian) membekalkan hiburan untuk orang ramai serta mengasah kemahiran menunggang kuda yang diperlukan sewaktu perang. Kebanyakan sukan seperti dressage, eventing dan show jumping berasal dari latihan tentera yang tertumpu pada kawalan dan pengimbangan kuda dengan penunggang sekali. Sukan-sukan lain seperti rodeo pula berkembang dari kemahiran-kemahiran amali seperti yang diperlukan untuk mengusahakan ladang ternak. Kegiatan berburu sambil menunggang kuda turut berevolusi dari teknok-teknik pemburuan amali purba.[150] Segala jenis perlumbaan kuda berevolusi dari peraduan spontan sesama penunggang. Segala jenis pertandingan yang memerlukan kemahiran yang tinggi dan khusus pada kuda dan penunggangnya sekali menyebabkan penghasilan baka dan kelengkapan yang khusus untuk setiap sukan. Berkat daripada kelarisan sukan berkuda selama berabad-abad, terpeliharanya kemahiran-kemahiran yang daripada kepupusan setelah kuda dilucutkan dari kegunaan perang.[155]

Kuda dilatih untuk ditunggang atau dipandu dalam pelbagai pertandingan sukan, misalnya show jumping, dressage, eventing tiga hari, rodeo, dan sebagainya.[156] Pertunjukan kuda yang berakar umbi pada pesta Eropah Zaman Pertengahan turut diadakan di seluruh dunia. Acara-acara ini terdiri daripada pelbagai kelas, meliputi segala jurus bertunggang dan berabah-abah, dan juga kelas 'tali kajai' yang mana kuda itu dituntun, bukan ditunggang, untuk dinilai berasaskan kesusukannya. Kaedah pengadilan berbeza-beza mengikut disiplin, tetapi untuk memenanginya lazimnya bergantung pada gaya dan kebolehan kuda dan penunggang sekali.[157]

Sukan seperti polo tidak mengadili kuda, sebaliknya menggunakan kuda sebagai teman untuk pesaing manusia sebagai kelengkapan asas permainan. Biarpun kuda itu memerlukan latihan khusus untuk bertanding, namun prestasinya tidak diadili, sebaliknya hanya hasil tindakan penunggangnya, iaitu memasukkan bola ke dalam gawang atau sebagainya.[158] Antara sukan gandingan manusia dengan kuda sebegini ialah jousting dari Eropah yang mana pemain mesti menjatuhkan lawannya dari kuda dengan sejenis tombak,[159] dan buzkashi, iaitu sukan berpasukan dari Asia Tengah yang bertujuan menangkap bangkai kambing sambil menunggang kuda.[158]

Lumba kuda merupakan sebuah industri antarabangsa yang disaksikan di hampir setiap negara di dunia. Terdapat tiga jenisnya iaitu: flat (balapan biasa); steeplechase (balapan berhalangan); dan "lumba adang-adang" yang mana kuda meligas sambil menarik pemandunya dengan sebuah pedati kecil.[160] Kepentingan ekonomi lumba kuda ditunjangi oleh perjudian.[161]

Kerja

Polis berkuda di Poland.

Terdapat beberapa pekerjaan yang begitu tangkas dilakukan oleh kuda, hingga belum ada teknologi yang dibangunkan untرuk mengganti mereka sama sekali. Misalnya, kuda polis masih berkesan untuk sesetengah jenis tugas meronda serta mengawal keramaian.[162] Ladang ternak lembu masih memerlukan penunggang kuda untuk menggiring lembu yang bertempiaran di seluruh bumi yang berjauhan dan kasar.[163] Badan-badan mencari dan menyelamat di sesetengah negara mengharapkan pasukan berkuda untuk mencari orang sesat, terutamanya pengembara dan kanak-kanak, serta membekalkan bantuan amal bencana.[164] Kuda juga boleh digunakan di kawasan yang menegah penggunaan kenderaan ke atas tanah yang rapuh seperti hutan simpan, apatah lagi boleh dijadikan satu-satunya bentuk pengangkutan yang dibenarkan di kawasan hidupan liar. Kuda lebih senyap daripada kenderaan bermotor. Penguatkuasa undang-undang seperti renjer atau pelindung mergastua boleh menggunakan kuda untuk meronda. Kuda dan baghal juga sesuai untuk mengerjakan denai atau lain-lain kawasan bumi kasar yang kurang sesuai untuk kenderaan bermotor.[165]

Biarpun kuda diganti oleh jentera di merata dunia, namun sekitar 100 juta ekor kuda, keldai dan baghal masih digunakan untuk tujuan-tujuan pertanian dan pengangkutan di kawasan-kawasan yang kurang terbangun. Bilangan ini merangkumi sekitar 27 juta haiwan bekerja di Afrika sahaja.[166] Sesetengah amalan pengurusan tanah seperti bercucuk tanam dan membalak boleh dijalankan dengan cekap dengan kuda. Dalam bidang pertanian, penggunaan bahan api fosil dikurangkan sementara pemuliharaan alam sekitar dipertingkat lama-kelamaan dengan penggunaan haiwan penarik seperti kuda.[167][168] Pembalakan dengan kuda boleh mengurangkan kerosakan pada struktur tanah dan juga pokok kerana pemilihan balak yang lebih terpilih.[169]

Hiburan dan budaya

Kuda moden sering digunakan untuk melakonkan semula acara bersejarah, terutamanya peristiwa peperangan yang terkenal.[170] Kuda juga digunakan untuk memelihara tradisi budaya serta menjalankan upacara. Negara-negara maju seperti United Kingdom masih menggunakan kereta kuda untuk mengangkut kerabat diraja dan lain-lain orang ternama untuk acara-acara kebudayaan yang terulung.[171]

Kuda sering diperlihatkan dalam televisyen, filem dan sastera. Adakalanya kuda ditampilkan sebagai watak utama dalam cerita, bahkan digunakan sebagai unsur-unsur tampak yang menjamin ketepatan kisah bersejarah.[172] Kuda yang hidup mahupun gambaran kuda digunakan dalam iklan untuk melariskan pelbagai barangan keluaran.[173] Kuda sering terdapat pada jata, dalam pelbagai gaya berdiri dan kelengkapan.[174] Mitologi-mitologi dalam pelbagai budaya, baik Yunani, Rom, Norse, Hindu mahupun Islam menyebut tentang kuda yang biasa mahupun bersayap atau beranggota tambahan, malah ada yang turut menceritakan kuda yang menarik rata Bulan dan Matahari.[175] Kuda merupakan ahli yang ketujuh dalam kitaran 12 bintang zodiak Cina.[176]

OKU dan terapi

Golongan kelainan upaya dari segi fizikal atau mental tanpa mengira umur mendapat faedah daripada bertemankan kuda. Terapi tunggang kuda digunakan untuk merangsang mereka yang kurang upaya secara mental atau fizikal untuk membantu mereka menambah baik kehidupan mereka dengan memperbaiki keseimbangan dan koordinasi badan, meningkatkan keyakinan diri, serta menyemai rasa bebas dan berdikari.[177] Kebaikan kegiatan berkuda untuk mereka yang kurang upaya turut diiktiraf dengan ditambahnya acara-acara berkuda dalam Sukan Paralimpik serta pengiktirafan acara-acara para-ekuestrian oleh Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI).[178] Hipoterapi dan terapi tunggang kuda adalah antara gelaran bagi pelbagai strategi rawatan terapi fizikal, pekerjaan, mahupun percakapan yang memanfaatkan pergerakan kuda. Ahli hipoterapi menggunakan pergerakan kuda untuk meningkatkan kemahiran kognitif, koordinasi, keseimbangan, dan motor halus pesakit, sedangkan terapi tunggang kuda menggunakan kemahiran menunggang yang tertentu.[179]

Kuda turut membekalkan faedah psikologi kepada manusia walaupun tidak semestinya yang menunggang. Terapi "bantuan kuda" merupakan suatu bentuk psikoterapi pengalaman yang menggunakan kuda sebagai haiwan teman untuk menolong mereka yang mengalami penyakit jiwa, termasuk kecelaruan kerana resah, kecelaruan psikotik, kecelaruan jiwa, kesusahan tatalaku, serta mereka yang sedang melalui perubahan hidup yang besar.[180] Juga terdapat program-program percubaan yang menggunakan kuda di dalam penjara, yang mana pendedahan kepada kuda kelihatan menambah baik perilaku banduan serta mengurangkan berulangnya jenayah apabila banduan dilepaskan.[181]


Peperangan

Tentera berkuda Turki, 1917

Kuda telah digunakan dalam peperangan sepanjang sejarah tamadun manusia. Bukti kaji purba terawal akan penggunaan kuda perang berasal dari sekitar tahun 4000 ke 3000 SM,[182] manakala penggunaan kuda perang meluas pada lewat Zaman Gangsa.[183][184] Walaupun rata-rata diganti oleh jentera sebagai senjata perang, namun kuda masih digunakan dalam kegunaan ketenteraan yang terhad, terutamanya untuk kegunaan upacara, atau kegiatan mengintip dan mengangkut di kawasan rupa bumi kasar yang tidak sesuai dijalani kenderaan bermotor. Kuda digunakan pada abad ke-21 oleh puak Janjaweed di Konflik Darfur.[185]

Keluaran

Kuda merupakan bahan mentah untuk pelbagai produk keluaran yang dibuat oleh manusia sepanjang sejarah, baik keluaran sampingan dari penyembelihan kuda mahupun bahan-bahan yang diperoleh dari kuda yang hidup.

Antara hasil perolehan dari kuda hidup termasuk susu kuda yang diminum oleh kaum-kaum yang menyimpan kuda dalam kawanan besar-besar, misalnya orang Mongol yang menapai susu kuda untuk membuat kumis.[186] Darah kuda pernah dijadikan makanan oleh kaum Mongol dan lain-lain puak nomad sebagai sumber khasiat yang mudah ketika mengembara. Dengan meminum darah kuda sendiri, orang Mongol dapat menunggang dalam jangka masa yang lama sekali tanpa bersinggah untuk makan.[186] Ubat Premarin merupakan campuran estrogen yang diekstrak dari air kencing ibu kuda yang bunting (Bahasa Inggeris: pregnant mares' urine), malah pernah digunakan secara meluas untuk terapi ganti hormon untuk wanita yang putus haid.[187] Bulu ekor kuda boleh digunakan untuk membuat penggesek alat muzik bertali seperti biola dan selo.[188]

Daging kuda juga dijadikan makanan untuk manusia dan haiwan maging sejak berzaman-zaman. Di serata dunia terdapat manusia yang makan daging kuda, tetapi dilarang dalam sesetengah budaya,[189] atau setidak-tidaknya dijadikan titik pertikaian.[190] Kulit kuda digunakan untuk membuat kasut, sarung tangan, jaket,[191] bola besbol,[192] dan sarung tangan besbol. Telapuk kuda juga boleh digunakan untuk menghasilkan gam haiwan.[193] Tulang juga sesuai untuk membuat perkakasan.[194] Terutama sekali dalam masakan Itali, tulang kering kuda diasah menjadi jarum spinto yang digunakan untuk menguji kesediaan daging ham (khinzir) yang .[195] Di Asia Tengah, saba merupakan bekas kulit kuda untuk menghasilkan kumis.[196]

Penjagaan

Memeriksa gigi adalah antara langkah-langkah penting dalam penjagaan kuda.

Kuda merupakan haiwan peragut yang mendapat punca khasiat utama dalam bentuk rumput segar mahupun kering yang bermutu tinggi.[197] Kuda mampu makan yang kering sebanyak kira-kira 2% ke 2.5% berat badannya setiap hari. Oleh itu, seekor kuda dewasa 450-kilogram (990 lb) mampu makan sehingga 11 kilogram (24 lb) makanan.[198] Adakalanya, makanan pekat seperti bijirin diberikan di samping rumput segar atau kering, lebih-lebih lagi kuda yang sungguh cergas.[199] Sungguhpun demikian, pakar khasiat kuda mengesyorkan supaya 50% ke atas pemakanan kuda mengikut beratnya mesti datang dari meragut rumput segar.[200]

Kuda memerlukan bekalan air bersih yang banyak, iaitu minimum 10 US gallon (38 L) ke 12 US gallon (45 L) sehari.[201] Biarpun sesuai hidup di luar, namun kuda memerlukan perteduhan dari angin, hujan dan salji, yang boleh berupa bangsal yang ringkas mahupun kandang yang serba lengkap.[202]

Kuda memerlukan penjagaan telapuk yang rutin oleh seorang tukang ladam, di samping juga pemvaksinan sebagai perlindungan dari pelbagai penyakit, serta pemeriksaan gigi oleh doktor haiwan atau doktor gigi yang khusus dalam gigi kuda.[203] Kuda yang disimpan di dalam bangsal memerlukan senaman harian demi kesihatan fizikal dan mental.[204] Apabila dipimpin keluar, kuda perlu dibendung dengan pagar yang kukuh dan terpelihara.[205] Pembersihan kuda secara kerap juga membantu kuda menjaga kesihatan bulu dan kulitnya.[206]

Rujukan

WikiPedia: Kuda http://www.abc.net.au/radionational/programs/scien... http://www.studbook.org.au/DisplayPDF.aspx?ty=RULE... http://www.cbc.ca/quirks/episode/2009/03/07/horsey... http://www.omafra.gov.on.ca/english/livestock/hors... http://www.sfu.ca/~donyang/adnaweb/Cai%20DW%20JAS2... http://www.aqha.com/Home/Racing/~/media/Files/Raci... http://www.baseball-fever.com/showthread.php?p=309... http://www.blackwell-synergy.com/doi/abs/10.1111/j... http://kudakelate.blogspot.com/ http://cs.bloodhorse.com/blogs/nicanor/archive/200...